Boikot McD Malaysia Isu Semenjung Gaza Palestin : McDonald Malaysia Saman Individu Yang Hina, Tohmah, Fitnah Mereka : Akhir-akhir ini, agak agresif McD Malaysia mempertahan diri mereka daripada serangan bertali arus daripada sejumlah besar rakyat Malaysia yang mula muak dan menolak produk McD Malaysia setelah tidak sanggup lagi melihat saudara seislam mereka di Semenanjung Gaza, Palestin dihukum, didera, diperlakukan dengan kejam sekali oleh tentera Zionis LAKNATULLAH seperti (DI SINI)
Ditambah dengan banyak kajian sudah dibuat tentang kualiti dan kesan makanan-makanan segera ini. Hikmah juga untuk kesihatan rakyat Malaysia. Tetapi makanan lain pun tidak semestinya sihat dan bersih tetapi perlu diambil pada kuantiti yang betul.
Nampaknya ada kesan dan impak yang cukup besar menerusi kempen boikot McD Malaysia. Dalam pada masa yang sama, Berita Semasa berharap lebih banyak usahawan Islam yang boleh mewujudkan jenama antarabangsa ala-ala McD supaya menjadi alternatif untuk kalangan orang Islam yang cukup suka dengan makanan segera. Insyaallah. Amin.
Pihak kami ingin untuk memberikan jawapan kepada tulisan seseorang yang memberikan nama beliau sebagai Firdaus Ariff (“penulis tersebut”) yang tersebar dengan meluas di media sosial semalam. Kononnya tulisan beliau adalah satu analisa fakta bilamana pada hakikatnya kenyataan-kenyataan yang terkandung adalah berbentuk fitnah dan hasutan.
Buat makluman, adalah bukan amalan pihak McDonald’s Malaysia untuk menjawab setiap tohmahan dan fitnah oleh kerana keutamaan kami adalah perniagaan dan pelanggan-pelanggan kami dan kami mengekalkan hak kami untuk menjawab atau tidak menjawab mana-mana tohmahan atau fitnah. Bagaimanapun dalam perkara ini, kami membuat pengecualian kerana tohmahan-tohmahan tersebut dibuat secara terbuka dengan mempertikaikan fakta-fakta yang dijelaskan oleh pihak kami semasa ditemubual oleh pihak media (Berita Harian) dan disiarkan pada 30 Julai 2014.
Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengekalkan hak kami untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis tersebut atau mana-mana pihak yang membuat kenyataan-kenyataan menghina pada bila-bila masa akan datang di dalam tempoh hadmasa yang dibenarkan oleh undang-undang. Kami juga menganggap tindakan penulis tersebut membiarkan komen-komen menghina disiarkan di dalam laman di bawah kawalan beliau sebagai menambah kesan (“aggravate”) fitnah terhadap kami. Disertakan di bawah ini jawapan kami kepada tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh beliau terhadap kami:
1. Tohmahan pertama: Tajuk tulisan oleh penulis tersebut – “McDonalds Malaysia Memperbodohkan Rakyat Malaysia”
Jawapan kami: Tajuk tersebut jelas sama ada secara nyata ataupun secara tersirat menggambarkan bahawa kami kononnya telah membohongi rakyat Malaysia, yang mana dinafikan. Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan fitnah yang jelas (“highly libellous”).
2. Tohmahan kedua: Kenyataan penulis tersebut -“Mungkin mereka sudah ‘panas punggung’ atas boikot yang berlarutan.”
Jawapan kami: Buat makluman, sebarang kenyataan yang dibuat oleh pihak kami lanjutan daripada temubual dengan pihak media dibuat atas rasa tanggungjawab. Kami juga telah dari semasa ke semasa mendapat maklum balas daripada pelanggan-pelanggan kami yang meminta suatu penerangan mengenai pendirian kami yang telah jelas kami nyatakan semasa temu bual tersebut.
3. Tohmahan ketiga: Kenyataan-kenyataan penulis tersebut menggambarkan kononnya jumlah restoran yang dimiliki oleh anak tempatan dan orang Melayu tersangat sedikit. Kenyataan-kenyataan tersebut berakhir dengan kenyataan-kenyataan kononnya:
“Adakah 27.68% outlet dikira banyak? Apa yang pasti bukan majoriti. McDonald’s Malaysia memiliki bakinya dan memiliki majoriti outlet. Berapa banyak pula kepentingan Melayu? Peratusan outlet francais yang dimiliki Melayu: (50% x 67) / 242 x 100% = 13.84% Dengan hanya 13.84% outlet dimiliki oleh orang Melayu memang jauh panggang dari api hendak mengatakan McDonalds Malaysia adalah syarikat Melayu. Bukannya 50% outlet dimiliki orang Melayu!”
Jawapan kami:
Penulis cuba mengelirukan pembaca dengan gagal membuat rujukan kepada kenyataan-kenyataan yang jelas tertera di dalam artikel temubual tersebut yang menyatakan:
(a) … syarikat menyasarkan untuk memiliki 500 restoran menjelang tahun 2020, termasuk 50 peratus daripadanya difrancaiskan kepada usahawan tempatan…
(b) … memandangkan boikot ini menyentuh tohmahan yang menyentuh sensitiviti agama, terdapat kemungkinan golongan Bumiputera beragama Islam yang berkelayakan akan menyisihkan diri daripada memohon untuk menjadi francaisi. “Ini akan menjejaskan harapan kami untuk mempunyai francaisi yang mewakili setiap kelompok masyarakat, tambah-tambah lagi dalam saat kritikal kini yang mana McDonald’s Malaysia sedang mengembangkan bilangan francaisi dengan pesat…
Temu bual tersebut antara lain menjelaskan bahawa saat kini adalah satu saat yang kritikal dimana bilangan francaisi sedang dikembangkan, oleh itu ia menyentuh perancangan mendatang dan bukannya keadaan yang statik yang diuar-uarkan oleh penulis tersebut. Oleh yang demikian, pendekatan analisa yang kononnya dilakukan oleh penulis tersebut adalah satu pendekatan yang cetek dan tidak berlaku adil kepada keseluruhan konteks artikel temu bual.
Kami ingin menegaskan lagi bahawa syarikat kami sentiasa mengamalkan keterbukaan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Adalah malang sekiranya mana-mana golongan masyarakat memilih untuk tidak melibatkan diri dalam program francais kami disebabkan oleh hasutan mana-mana pihak.
4. Tohmahan keempat: Kenyataan penulis tersebut kononnya “ahli lembaga pengarah yang seramai 10 orang
Jawapan kami: Jelas terdapat kekeliruan oleh penulis tersebut mengenai maksud ahli lembaga pengarah. Buat pengetahuan, ahli Lembaga Pengarah McDonald’s Malaysia terdiri daripada lima (5) orang anggota sahaja, walaupun terdapat anggota gantian (“alternate directors”) seramai tiga orang. Daripada lima anggota tersebut, majoritinya iaitu tiga anggota adalah anak tempatan termasuk dua daripadanya adalah berbangsa Melayu. Pemeriksaan borang 49 Akta Syarikat akan membuktikan perkara ini. Sekali lagi diingatkan bahawa di McDonald’s Malaysia, kami tidak mengamalkan apa-apa kuota dan di atas keterbukaan kami, anak-anak tempatan yang layak, tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan kini mengisi jawatan-jawatan penting dalam syarikat.
5. Tohmahan kelima: Kenyataan-kenyataan penulis yang berikut – “Semakan di SSM menunjukkan Golden Arches Restaturant Sdn. Bhd. mempunyai 20 juta saham biasa. Siapa pula pemiliknya?
McDonald’s Corporation bukan setakat menerima royalti malah mempunyai saham majoriti dalam Golden Arches Restaurant’s Sdn Bhd (McDonald’s Malaysia). Tiada entiti Malaysia yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald’s Malaysia.Tiada entiti Melayu yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald’s Malaysia.”
Jawapan kami: Di dalam temu bual tersebut, pihak kami telah dengan terang-terang dan tanpa menyembunyikan apa-apa fakta menerangkan bahawa sememangnya pemegang saham McDonald’s Malaysia adalah merupakan McDonald’s Corporation bilamana dinyatakan “Walaupun pemegang saham kami adalah McDonald’s Corporation yang berpengkalan di Amerika Syarikat, tetapi syarikat kami adalah McDonald’s Malaysia…”
Tidak ada di mana-mana dalam temu bual tersebut dinyatakan bahawa ada entiti Malaysia yang memegang saham McDonald’s Malaysia. Penulis menimbulkan sebagai isu sesuatu yang bukan isu dan tak pernah ditimbulkan semasa sesi temu bual. Ini menunjukkan kedangkalan analisa beliau.
Harus diingat bahawa konteks artikel daripada perspektif milikan adalah milikan anak-anak tempatan secara terus ke atas perniagaan restoran-restoran McDonald’s di Malaysia melalui konsep francais, dan bukannya milikan syarikat McDonald’s Malaysia.
6. Tohmahan keenam: Kenyataan penulis tersebut – “Melayu sekadar majoriti pekerja dan minoriti pemilik outlet McDonald’s Malaysia.”
Jawapan kami: Persoalannya, apakah mesej yang cuba dibawa oleh penulis mengenai 85% tenaga kerja McDonald’s Malaysia terdiri daripada Melayu. Digambarkan seolah-olah ini adalah sesuatu yang tidak elok, jadi adakah objektif penulis tersebut agar tenaga kerja berbangsa Melayu dikurangkan? Ingin dijelaskan sekali lagi di sini McDonald’s Malaysia menghargai semua pekerja-pekerjanya daripada mana-mana bangsa, agama dan keturunan dan tidak ada sebarang kuota yang dikenakan pada bila-bila masa. Bagaimanapun adalah satu realiti bahawa majoriti pekerja McDonald’s Malaysia adalah berketurunan Melayu dan mereka tidak seharusnya dihina.
Mengenai dakwaan bahawa Melayu adalah minoriti pemilik outlet McDonald’s Malaysia, harus diingat bahawa 40% sehingga 50% daripada jumlah francaisi adalah satu peratusan yang signifikan. Pengambilan francaisi-francaisi adalah di atas dasar merit dan sebelum ini ramai daripada orang-orang Melayu yang teruja untuk membuat permohonan. Tindakan memboikot adalah sebenarnya satu langkah yang boleh dilihat sebagai mensabotaj orang-orang Melayu beragama Islam daripada membuat permohonan kerana tohmahan dan fitnah melampau. Penulis tersebut memberikan mesej yang tidak konsisten, adalah tidak jelas sama ada beliau menyokong orang-orang Melayu memohon untuk menjadi francaisi ataupun beliau mengharapkan agar orang-orang Melayu tidak memohon daripada menjadi francaisi-francaisi McDonald’s Malaysia. Jelas bahawa analisa beliau mengandungi kenyataan-kenyataan yang tidak konsisten.
7. Tohmahan ketujuh: Kenyataan penulis tersebut bahawa – “Tajuk artikel pun sudah memberi gambaran salah. Sejauh mana lagi McDonald’s Malaysia mahu memperbodohkan rakyat Malaysia?”
Jawapan kami: Kami mengulangi kenyataan kami di atas bahawa kenyataan ini adalah jelas sama ada secara nyata ataupun secara tersirat menggambarkan bahawa kami kononnya membohongi rakyat Malaysia. Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan fitnah yang jelas.
Adalah harapan kami agar pelanggan-pelanggan kami yang dikasihi dapat mengambil maklum kenyataan di atas. Kami sekali lagi mengekalkan hak kami untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis tersebut dan komentar-komentar melampau terhadap kami, pada bila-bila masa akan datang, di dalam jangkamasa yang dibenarkan oleh undang-undang.
Sesungguhnya, kami akan sentiasa berusaha untuk menyampaikan maklumat serta fakta-fakta yang tepat dan berguna demi kepentingan para pelanggan kami. Harap maklum.
Jabatan Perundangan, McDonald’s Malaysia
Pada menu gambar lain, apabila sudah beli dapat lain. Bagaimana? Contohnya beli Big Mac tidak serupa seperti dalam gambar iklan. Jikalau tengok di TV sayur salad bukan main cerah lagi. Apabila beli? Tengok sayur macam kena elnino. Layu habis seperti mati pucuk. Sayur pasar Selayang lagi “hensem”.
Agak-agaknya, mengelirukan pelanggan boleh kena saman McD Malaysia? Apatah lagi di menu gambar tidak ditulis “gambar sekadar hiasan” atau “sekadar ilustrasi pelukis” dan bla…bla….bla…Tengok lain, dapat lain?
Bagi pendapat Berita Semasa, dalam isu boikot McD Malaysia ini, masing-maisng ada hak. McD Malaysia sebagai perniagaan franchis ada hak untuk salurkan dana kepada badan induk yang menaungi. Orang awam yang simpati pada keadaan di Semenanjung Gaza, Palestin ada hak untuk terus boikot McD Malaysia. Terpulang….
P/S : Nampaknya jawapan balas dari McD Malaysia masih lagi tidak meyakinkan. Jangan tinggalkan rakyat Malaysia dengan seribu satu persoalan yang pelbagai dalam keadaan rakyat di Semenanjung Gaza, Palestin terus dibedil dan dihemtam oleh tentera Zionis LAKNATULLAH.
sumber dari : http://www.beritasemasa.com.my/
No comments:
Post a Comment